13 Tip Kurangkan Masalah Saluran Susu Ibu Tersumbat Yang Menyakitkan

Tentu ramai ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu kerap mengalami masalah puting payudara sakit dan pedih. Payudara seperti membengkak dan bayi meragam akibat tidak puas menyusu.
Walaupun sudah cuba mengepam, pengeluaran suus tidak lancar dan kuantiti yang keluar amat sedikit. Tentu ibu cemas dan resah kerana sakit dan risau susu tidak banyak diperoleh.

Situasi yang dialami oleh ibu menyusu tersebut adalah masalah saluran tersumbat atau radang susu.

Masalah saluran tersumbat berlaku kerana saluran susu pada sebahagian payudara tersumbat. Selalunya terdapat bintik-bintik putih pada permukaan puting. Keadaan ini terjadi pada sebahagian payudara sahaja dalam satu masa.  

Manakala masalah radang susu pula bukan sahaja disebabkan saluran susu tersumbat, tetapi juga disebabkan oleh alergi atau jangkitan bakteria. Radang susu ini tidak terhad pada waktu tertentu. Ia selalunya terjadi secara mengejut dan membabitkan satu payudara sahaja.

13 tip ini membantu meredakan masalah radang susu dan saluran tersumbat.


1.    Susukan bayi dengan kerap sekurang-kurangnya dua jam sekali.

2.    Kosongkan payudara yang sakit sepenuhnya. Jika selepas menyusu payudara masih penuh, perah untuk mengosongkannya.

3.    Jika terlalu sakit untuk menyusukan, ambil langkah untuk memerah (sama ada menggunakan pam atau tangan) sebagai cara mengosongkan payudara.

4.    Sebelum sesi penyusuan, tuam dengan sesuatu yang suam dan urut payudara yang terbabit.

5.    Anda juga boleh mandi menggunakan air suam dan sikat/urut payudara terbabit semasa mandi. Urutan perlu mengarah ke bahagian puting.

6.    Urutan akan membantu payudara untuk dikosongkan dengan lebih maksimum dan mengurangkan simptom.

7.    Sepanjang mengalami radang susu dan saluran tersumbat, usahakan supaya payudara tidak ditekan kuat atau terhimpit.

8.    Ibu perlu memastikan agar coli tidak dipakai dengan ketat. Abaikan pemakaian korset buat sementara waktu.

9.    Sentiasa mendahulukan payudara yang sakit semasa menyusukan si manja untuk merangsangnya. Jika ia menyakitkan, anda boleh berikan payudara yang sakit tersebut sehingga tercetusnya pancutan (let down) dan kemudian tukar kepada payudara sebelah.

10.    Susui si manja dengan posisi badan yang betul dan pilih posisi yang memberikan ruang untuk anda mengurut bahagian yang tersumbat atau terjadi radang.

11.    Lakukan picitan lembut bahagian payudara (breast compression) semasa menyusu.

12.    Urutan semasa menyusukan ialah daripada arah bahagian yang sedang sakit kepada puting.

13.    Selepas menyusu, ibu mesti memerah sama ada menggunakan tangan (teknik Marmet) atau menggunakan pam payudara. Hal ini akan membantu mengosongkan payudara dengan lebih efektif dan menggalakkan penyembuhan.

Namun, sekiranya masalah yang ibu hadapi tetap tidak berkurangan walaupun sudah mencuba semua tip berikut, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut terutama sekiranya masalah saluran tersumbat berlaku pada kedua belah payudara, puting merekah menunjukkan tanda berlaku jangkitan kuman, keluar darah atau nanah di dalam susu ibu, payudara kemerah-merahan dan suhu badan ibu meningkat secara mendadak.

0 Response to "13 Tip Kurangkan Masalah Saluran Susu Ibu Tersumbat Yang Menyakitkan"

Post a Comment