loading...

SUBHANALLAH..API MAJUSI YANG DISANGKA TIDAK TERPADAM AKHIRNYA TERPADAM JUA SEMASA KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW.





Sebelum kita membicarakan tentang tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad s.a.w, adalah lebih baik kita menceritakan latar belakang kelahiran baginda s.a.w. Nabi Muhammad bin Abdullah merupakan Rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada sekelian umat hingga hari kiamat. Baginda menjadi yatim semasa dua bulan dalam kandungan ibunya, kerana bapanya Abdullah bin Abdul Mutalib telah wafat di Yathrib. Baginda dilahirkan di kota Mekah pada hari Isnin 12 Rabi’ul Awal tahun gajah, yakni tahun dimana Abraham atau Abrahah al-Asyram berusaha menyerang Mekah dan menghancurkan ka’bah. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Fil: Maksudnya: “Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Apakah kamu tidak memperhati kan bagaimana Tuhan mu telah bertindak terhadap tentera bergajah. 1. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan ka’bah) itu sia-sia 2. Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong 3. Yang melempari mereka dengan batu yang berasal dari tanah yang terbakar 4. Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat 5”.


Dari grafik di atas, kita akan bincangkan kesemua peringkat masa (sebelum, semasa dan selepas kelahiran). Anda perlu memahami peristiwa yang berlaku dan yang lebih penting lagi adalah mengetahui pengajaran disebalik peristiwa yang berlaku.

Sebelum Kelahiran

(a) Api Sembahan Kaum Majusi di Parsi Terpadam

Kaum Majusi adalah golongan yang menyembah api, mereka menggangap api adalah tuhan mereka. Di Parsi (Iran) mereka telah membina satu obor yang besar dan api yang mereka nyalakan di dalam obor berkenaan menjadi tuhan mereka dan meyakini bahawa api tersebut tidak akan padam buat selama-lamanya. Namun tanggapan mereka silap kerana semasa Nabi s.a.w hendak dilahirkan, secara tiba-tiba api sembahan mereka terpadam dan ini menyebabkan semua masyarakat Parsi terkejut, maka rahib mereka menyatakan bahawa ia adalah suatu petanda satu perkara besar telah berlaku.

(b) Aminah Bermimpi Supaya Anak dalam Kandungan Diberi Nama Muhammad

Ibu kepada Nabi s.a.w, Aminah bt. Wahab adalah seorang wanita yang solehah, beliau kerap bermimpi bertemu dengan seorang berjubah putih dan meminta beliau memberi nama anak dalam kandungannya dengan nama Muhammad (yang terpuji). Sememangnya nama itu tidak ada sebelum kelahiran baginda s.a.w. Apabila baginda dilahirkan, semua orang memuji nama tersebut kerana keindahannya dan belum ada seorang pun waktu itu yang bernama Muhammad.

Semasa Kelahiran

Sewaktu Baginda dilahirkan, telah berlaku perkara yang luar biasa (mukjizat) ke atas Nabi s.a.w iaitu:

a)    Kedua tapak tangan Baginda melekap di atas bumi dan kepala Baginda mendongak ke langit.
b)    Baginda dilahirkan dalam keadaan sudah berkhatan.
c)    Baginda bersin dan mengucapkan Alhamdulillah, dijawab oleh malaikat “yarhamukaLLah” dan Baginda menjawab lagi “yahdina wayahdikumuLLah”.

Selepas Kelahiran

(a) Dada Baginda s.a.w Dibedah

Sewaktu kecil, Baginda s.a.w telah di jaga oleh ibu susuannya iaitu Halimatus Sa’diah dari kabilah Saad. Suatu hari ketika Baginda sedang bermain dengan kawan-kawannya, telah datang kepadanya seorang lelaki (malaikat Jibril a.s) bertemu dengan Baginda. Orang itu membaringkan Baginda dan telah membedah dada Baginda tanpa bantuan alatan moden, dikeluarkan hati Baginda dan dibasuh dengan air zam-zam dalam bekas emas. Kanak-kanak yang sedang bermain bersama Baginda merasa ketakutan lalu pergi memberitahu peristiwa yang berlaku kepada Halimatus Sa’diah. Terkejut dengan cerita yang sukar dipercayai itu, Halimatus Sa’diah telah bergegas mendapatkan Muhammad s.a.w, apabila beliau sampai di tempat kejadian, orang yang membedah dada Baginda sudah tiada dan Muhammad s.a.w kelihatan terkejut dengan apa yang terjadi kepada Baginda. Selepas peristiwa berkenaan, Halimatus Sa’diah dengan berat hati telah menghantar Baginda s.a.w ke pangkuan ibunya kerana bimbang peristiwa sama akan berulang kembali.

(b) Kumpulan Awan Memayungi Baginda Ketika Berjalan

Nabi s.a.w sentiasa berjalan dan dipayungi oleh awan, inilah satu mukjizat terhadap Baginda. Sebagaimana yang diceritakan oleh Maysarah, orang kepercayaan Khadijah, semasa mengikuti rombongan perniagaan ke Syam bersama Nabi s.a.w. Beliau menyatakan bahawa semasa dalam perjalanan bersama Muhammad s.a.w keadaan di sekitarnya redup kerana dibayangi oleh awan yang sentiasa mengekori Baginda s.a.w.

Kesan Tanda-tanda Kenabian Nabi Muhammad s.a.w

i. Kesan Terhadap Keluarga Baginda
(a) Mereka mengagumi dengan tanda-tanda kelahiran Baginda.
(b) Keluarga sentiasa menjaga kedudukan Baginda.
(c) Memberi sokongan dan perlindungan kepada Baginda.

ii. Kesan Terhadap Masyarakat Arab
(a) Bangsa Arab turut kagum dengan tanda-tanda kelahiran Baginda.
(b) Mengakui keistimewaan dari Baginda s.a.w
(c) Memudahkan masyarakat mempercayai Baginda.

0 Response to "SUBHANALLAH..API MAJUSI YANG DISANGKA TIDAK TERPADAM AKHIRNYA TERPADAM JUA SEMASA KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW."

Post a Comment